Thursday, 1 March 2018 |

KATA KATA UNTUK SAHABAT

Pengertian Kawan, Sahabat dan Teman💜💜💜

Kawan, sahabat dan teman secara amnya membawa maksud yang sama. Tetapi sekiranya kita melihat secara mendalam, ianya mempunyai maksud tersirat yang berlainan. Betul ke ??

Kawan💖
Semua orang mempunyai kawan termasuk aku sendiri. Setiap orang kita kenali, yang kita dampingi adalah kawan. Sama ada disekolah, pejabat atau dimana sahaja, mereka adalah kawan. Sekiranya kawan itu sentiasa bersama kita dan sanggup menolong kita dikala susah, tahniah kerana anda telah mempunyai seorang sahabat.
Sahabat💖
Maksud sahabat sama seperti kawan akan tetapi mempunyai makna yang lebih mendalam. Seorang sahabat sentiasa bersama kita sama ada kita senang mahupun susah. Mereka akan menolong kita sekiranya kita dilanda kesusahan. Jika orang yang kita panggil sahabat hanya bersama kita dikala senang dan meninggalkan kita ketika susah, maka orang itu bukanlah seorang sahabat. Sahabat adalah orang yang memahami dan sanggup berkorban untuk rakannya dalam menghadapi kesukaran atau kesenangan dalam kehidupan.
Teman💖
Teman juga mempunyai maksud yang sama seperti kawan atau sahabat tetapi ianya juga mempunyai makna yang lebih mendalam daripada pengertian kawan dan sahabat. Teman juga sama seperti sahabat tetapi dia sanggup bersama kamu selamanya. Dia akan menemani kamu dikala kamu susah dan kesepian. Menghiburkan hati dan membawa kegembiraan di dalam hidup kamu. Teman sanggup sehidup semati dengan pasangannya.
Begitulah realiti kehidupan tidak lari daripada perasaan saling sayang-menyayangi.
Perbezaan istilah ini sering dibincangkan dalam forum-forum di internet. Mereka lebih kepada penyusunan mengikut kategori. Bermula dari bawah sehinggalah ke atas. Namun saya lihat perbincangan itu hanya tertutup tidak lebih kepada apa yang realti, sekadar berfantasi.
Ramai orang bertanya bagaimana untuk mencari sahabat sejati?

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” 
(Hadis riwayat al-Hakim)
Kita ingin memiliki sahabat yang baik, sahabat yang sejati. Tetapi adakah diri kita sudah cukup sempurna untuk bergelar seorang sahabat yang baik? Jika persoalan itu dituju, saya akan memberikan jawapan yang saya kira agak ringkas namun padat.

Saya umpamakan seperti dalam situasi win-win. Jika saya susah, saya nak kawan berada di sisi saya. Jika saya senang, saya nak kawan berada di sisi saya. Pendek kata, susah senang bersamamesti bersama. Apabila susahnya kita, senangnya kita secara tidak langsung kita dapat mengenali hati budi antara satu sama lain.
Dalam perkenalan, saya tidak mahu fokuskan kepada berlainan jantina. Saya kira jika congakan buat berlainan jantina, mungkin ia sedikit berbeza. Dalam hadith ada menyebut yang bermaksud :
“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” 
(Hadis riwayat Abu Daud)

Hadith di atas menjelaskan betapa pentingnya dalam mencari seorang sahabat. Mereka turut berperanan dalam aspek mencorak kehidupan kita. Lantaran itu, berhati-hatilah dalam soal memilih kawan. Dalam persahabatan juga, tidak kira apa jua situasi sekalipun aspek memahami dan pengorbanan perlu diterapkan.
Mungkin kadang-kadang hati ini mudah terusik,tatkala mengharap perhatian sahabat namun tidak dapat kita nikmati. Mungkin kerana sibuk atas urusan, barangkali kerana lupa seperti mana saya juga sering lupakan mereka atau mungkin kerana sudah tiba masanya untuk kita bersikap serius dalam kehidupan ini dan memandang jauh ke hadapan.
Tidak selamanya kita akan dikelilingi sahabat baik yang kita harap dapat membimbing dan mendidik diri kita ini. Ada sahaja kemungkinan Allah campakkan diri kita di atas sebuah pulau yang kontang dengan Islam dan kita tidak punya sesiapa kecuali Allah untuk membantu kita menghidupkan dakwah di bumi itu. Sudah tiba masanya kita bergantung lebih pada Allah berbanding dengan manusia.

Subhanallah, sahabat itu terlalu penting, namun tidak selamanya mereka dapat bersama kita. Sahabat boleh pergi dan berganti, namun Allah tetap di sisi.
Tetapi ingatlah, jika hari ini kita membawa haluan usah bersedih atas perpisahan ini.
Benar, setiap pertemuan itu pasti ada perpisahan, jangan salahkan pertemuan kerana tanpanya kita pasti tidak bertemu.





ADAB-ADAB PERSAHABATAN DALAM ISLAM💚💚💚


Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud :

“Barangsiapa yang menutup cela saudaranya, maka Allah akan menutup celanya di dunia dan di akhirat”. ( HR : Ibnu Majah )

Hubungan silaturrahim dan persabatan harus ditingkatkan dari semasa ke semasa. Dengan adanya rasa timbang rasa dan harga menghargai antara satu sama lain,maka dapatlah dielakkan perkara yang tidak diingini dan perkara-perkara yang boleh melanggar batas-batas agama.
Setiap Muslim harus menjaga saudaranya seperti ia menjaga dirinya sendiri. Dalam persahabatan mesti ada sifat-sifat berikut :

1. Jujur💦

Sahabat yang paling menguntungkan adalah sahabat yang jujur, suka berterus terang dan tidak menyembunyikan sesuatu daripada anda, apatah lagi perkara itu boleh mendatangkan keburukan kepada diri anda. Dalam Islam memang dituntut setiap orang itu memuliakan saudaranya, lebih dari dirinya sendiri. Begitu jugalah dengan kepentingan diri anda sendiri. Anda harus mementingkan sahabat anda seperti anda lakukan terhadap diri anda juga. Seperti firman Allah dalam hadis Qudsi yang bermaksud :

Sudahpastilah kecintaan-Ku itu untuk orang-orang yang saling ziarah-menziarahi kerana Aku. Sudah pasti pula kecintaan-Ku untuk orang-orang yang saling cinta-menyintai kerana Aku, sudah asti pula kecintaan-Ku kepada orang-orang yang saling bantu-membantu kerana Aku. Juga sudah pastilah kecintaan-Ku untuk orang-orang yang tolong-menolong kerana Aku”. ( HR : Ahmad & Hakim )


2. Ikhlas💦

Sifat ikhlas akan memberikan kesegaran pada jiwa, ikhlas member dan menerima dalam apa jua bentuk pertolongan atau pemberian dari setiap individu Muslim itu. Setiap remaja harus menyemaikan sifat itu sejak awal lagi, kerana keikhlasan itu membuatkan hati kita gembira dan tenang dalam menghadapi sesuatu keadaan. Tiadanya sifat ikhlas akan membuatkan jiwa kita menjadi rosak dan berdendam. Keikhlasan bukan sahaja member kesegaran kepada jiwa, malahan akan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Kebersihan hati boleh dicapai dengan iman dan takwa kepada Allah, secara lansung keikhlasan akan terbit dalam jiwa kita,dan akan lahir di setiap perbuatan kita. Lakukanlah sesuatu kepada seseorang dengan ikhlas, berilah sesuatu kepada seseorang dengan ikhlas, bukan dengan sebab lain.

3. Saling Memahami💦

Sifat faham-memahami adalah sifat yang terpuji yang harus ada pada setiap individu. Jika kawan-kawan anda berada dalam kesusahan atau masalah,bantulah mereka dengan ikhlas. Cubalah memahami masalah yang mereka lalui dan bantulah sedaya yang mampu. Jangan pula kita menekan mereka atau menjauhkan diri dari kawan-kawan yang mempunyai masalah, sebaliknya cubalah memahami mereka dan berilah keyakinan kepada mereka untuk menghadapi masalah yang mereka lalui. Sahabat sejati adalah sahabat yang akan bersama susah dan senang.


4. Saling Menghargai💦

Dalam apa jua keadaan anda harus menghargai sahabat anda, anda perlu menghormatinya sebagai individu yang harus diberi tempat di kalangan anda dan rakan-rakan anda yang lain. Jangan sesekali kita tak ambil kisah tentang kehadiran mereka, terutama jika ia berhadapan dengan anda, walaupun anda fikirkan kedudukan dirinya jauh lebih rendah daripada anda. Dalam Islam tidak ada insan yang lebih rendah atau tinggi kedudukannya,melainkan ketakwaannya kepada Allah. Mulianya seseorang itu bukan kerana sanjungan orang ramai, tetapi mulianya kerana dia lebih hamper dan takwa kepada Allah yang menjadikannya.


5. Bertimbang rasa💦

Bertimbang rasa terhadap teman, jika dia inginkan sesuatu dari anda, bantulah seberapa yang boleh. Jika dia berhutang dengan anda dan belum mampu membayarnya,berilah dia tempoh. Meringankan beban saudara anda bererti anda meringankan beban anda sendiri juga, saudara seagama itu adalah saudara anda dunia dan akhirat. Jangan anda bersikap tidak peduli dan bakhil terhadap mereka. Sifat ini akan merosakkan hubungan anda dengan saudara seagama anda sendiri. Lebih buruk lagi jika ia turut mengundang murka daripada Allah kerana sikap kita yang pentingkan diri sendiri.


6. Tolong-menolong💦

Tolong-menolong dalam soal agama memang digalakkan dalam Islam,jangan hendaknya anda tolong menolong dalam perkara-perkara yang mungkar. Dalam hal ini anda hendaklah segera member pertolongan kepada sahabat anda jika mereka memerlukan pertolongan tanpa menanti sahabat anda itu merayu meminta pertolongan. Barangkali sahabat anda itu malu atau segan untuk meminta pertolongan anda. Adalah lebih baik jika anda yang menawarkan diri untuk membantunya. Anda bukan sahaja dikasihi oleh sahabat anda itu, malah anda juga akan mendapat redha daripada Allah jika anda melakukannya dengan ikhlas.

7. Menghargai Perasaan Orang Lain💦

Jika sahabat anda berada dalam kesempitan atau ditimpa kemalangan segeralah anda menziarahinya. Kerana anda patut memberinya semangat atau bantuan yang perlu untuk sahabat anda itu. Memberinya nasihat dan menyuruh ia bersabar,jika ia kelihatan tidak tenteram ketika ditimpa kemalangan atau kematian orang-orang yang dikasihinya, berilah ia kata-kata yang menghiburkan hatinya, dengan mengatakan semua itu adalh proses hidup yang perlu diterima oleh setiap insan. Semuanya sudah ditakdirkan, dan kita yang hidup perlu meneruskan perjuangan dengan lebih matang dan bersemangat. Memang kita tahu bahawa saudara seagama itu seperti diri kita juga. Bagaimana jika anda berada dalam kesedihan sebegitu? Tentu anda juga perlukan teman yang boleh meredakahn kesedihan anda.



8. Jangan Prasangka Buruk dan Mencurigai💦

Setiap persahabatan yang terjalin hendaklah dengan ikatan tulus ikhlas. Anda harus menganggap baik setiap gerak geri sahabat anda itu. Jika ada sesuatu yang kurang menyenangkan, anda perlulah menegurnya dengan cara yang berhikmah dan berdiplomasi agar tidak menyinggung perasaannya. Tegur menegur adalah perkara yang dituntut agar sahabat kita dan diri kita sendiri tidak terjerumus dalam lembah kemurkaan. Lebih baik jika anda berterus terang daripada anda terus curiga dengan sikap sahabat anda, yang mungkin menimbulkan prasangka yang berpanjangan yang akhirnya merosakkan perasaan anda sendiri terhadap sahabat anda itu.


“Demi masa.Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”
( Surah Al-Ashr : 1-3 )




0 comments:

Post a Comment